1.0 PENGENALAN
Perkembangan
teknlogi maklumat yang pesat di Malaysia telah mendorong kepada kemajuan
ekonomi Malaysia secara langsung. Perkembangan ini telah menggalakkan individu
mahupun syarikat menggunakan internet sebagai medium perniagaan mereka atau
lebih dikenali dengan panggilan e-Dagang.
Melalui konsep
e-Dagang ini, masa kerja dan urusniaga akan menjadi lebih fleksibel dimana
pengguna boleh memiliki pertubuhan/ pejabat maya atau hanya beroperasi di
rumah. Pasaran perniagaan adalah lebih meluas ke serata dunia dan ia beroperasi
24 jam tanpa henti.
Selain itu, kaedah
pembayaran didalam bentuk baru ini (secara dalam talian) ternyata amat murah
dan mudah jika dibandingkan dengan kaedah pembayaran yang dibuat secara
konvensional dan sekaligus mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai.
2.0 DEFINISI
E-DAGANG
E-Dagang
adalah merupakan satu proses pembelian dan juga penjualan yang dibuat melalui
eletronik. Ia juga dikenali sebagai perdagangan elektronik atau dalam bahasa
inggeris dipanggil sebagai Electronic
Commerce (EC). Proses-proses yang melibatkan segala aktiviti perniagaan seperti
pengiklanan, pesanan, penghantaran, pembayaran dan juga khidmat selepas
jualan bagi perkhidmatan dan juga barangan. Menurut Lee Foong Yeaw (1998) e-Dagang
adalah:
E-commerce includes any form of computerised commercial transactions.These transactions may mean buying and selling of products and services on networked computers over the Internet either by consumers or between company and company. E-commerce also includes handling purchasing transactions, electronic fund transfers (EFT), buying and selling of new "commodities" such as electronic information concerning stock prices and classified advertisements.
3.0 SEJARAH
DAN EVOLUSI E- DAGANG
Sejarah pengembangan e-Dagang di
dunia bermula dari kemunculan internet yang kemudian terus berkembang sehingga
timbullah e-Dagang. Kelahiran Internet adalah pada tahun 1969 melalui kajian
sekelompok pemerhati di Amerika yang cuba berhubungan diantara empat buah
komputer di UCLA, Stanford Research Institute, Universiti Utah dan Universiti
California di Santa Barbara. Mereka telah berjaya mencipta sebuah sistem
jaringan perhubungan komunikasi yang membolehkan mereka berhubung secara terus antara
satu dengan yang lain.
Jaringan ini mula dikenali dengan
istilah ARPAnet dimana ARPA adalah singkatan bagi Advanced Research Project Agency. Permulaan penggunaan istilah
internet bermula setelah tiga tahun penemuan ARPAnet, lebih dari lima puluh
universiti telah terhubung bersama-sama dalam jaringan (network) dan jaringan
komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring dengan
perkembangan ARPAnet, kemudian diikuti pula dengan penyelidikan oleh para
cendiakawan serta eksperimen dari NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini
mulai terhubung diantara satu dengan yang lain.
Istilah perdagangan elektronik pula
bermaksud pemanfaatan transaksi komersial seperti pesanan pembelian atau invois
secara elektronik. Ia terus berkembang melalui aktiviti yang mempunyai istilah
perdagangan laman sesawang. Dimana transaksi pembelian dan penjualan barang
dilakukan dengan khidmat World Wide Web
melalui sebuah server yang dianggap
selamat (HTTPS).
Pembekal
dan pelanggan dapat bertemu dalam suasana virtual
atau maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital
dan lain-lain.
Ini bermakna e-Dagang melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat
membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan dimana jua mereka berada menerusi
akses kepada internet. Kaedah ini amat mesra pengguna dan sesuai bagi mereka
yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu
terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter.
Pembekal
akan mendirikan gedung maya dan mempromosikan melalui laman sesawang. Produk
atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pengguna akan disenaraikan
melalui laman sesawang masing-masing. Teknik pengiklanan yang terkini adalah
dengan meletakkan sepanduk elektronik secara berbayar atau pintar seperti pertukaran
sepanduk dengan mana-mana laman sesawang lain.
Organisasi-organisasi
lembah silikon ini biasanya akan menawarkan laman sesawang percuma kepada
pengguna internet dimana mereka boleh memaparkan iklan sepanduk kepada
pengunjung laman sesawang tersebut. Dalam hal ini, pembeli atau pelanggan hanya
perlu mengunjungi mana-mana tapak sesawang e-Dagang dan membuat pemilihan
produk dan perkhidmatan yang dikehendaki. Produk yang dipilih akan sampai ke
tangan pengguna dalam tempoh yang ditetapkan. Konsep perniagaan ini memerlukan
kepakaran teknologi maklumat yang menggabungkan teknologi komputer dan
telekomunikasi telah menghasilkan kebangkitan dan perkembangan dalam industri
teknologi maklumat (Ang Chiew Seng, 2012).
Malaysia
telah muncul kehadapan dalam bidang ini dengan munculnya Koridor Raya
Multimedia (MSC) yang di ilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu
Tun Dr Mahathir Mohamad. E-Dagang secara drastiknya telah berjaya mengubah landskap
perniagaan dan perdagangan yang dijalankan pada masa sekarang dan pada masa
hadapan. Ianya dikuasai oleh maklumat (marketspace) dan amat berbeza
dari ekonomi fizikal yang menjadi amalan biasa sebelum ini. Ini bermakna e-Dagang
secara amnya merangkumi aktiviti-aktiviti ekonomi melalui elektronik dan
melangkau semua transaksi yang berasaskan kepada kertas. Satu aspek penting
dalam menentukan kejayaan e-Dagang adalah banyak bergantung kepada keyakinan
dan kepercayaan peniaga dan pengguna. Kemunculan perniagaan e-Dagang sebenarnya
banyak didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat. Selain
itu, masalah-masalah yang wujud dalam perniagaan berbentuk konvensional turut
membantu perkembangan e-Dagang. Dilema utama dalam aktiviti perdagangan sejak
dahulu ialah faktor jarak yang jauh. Bagi mencapai tujuan mengembangkan
perniagaan, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan pasarannya yang mana akan
melibatkan penggunaan kos yang besar seperti pengangkutan, penyelenggaraan dan
sebagainya.
Di
samping itu faktor perbezaan zon waktu juga perlu diambil kira, lebih-lebih
lagi jika melibatkan perdagangan antarabangsa di antara negara yang berbeza zon
waktunya. Ini sudah tentu merumitkan merka dalam menjalankan urusan perniagaan.
E- Dagang atau kini juga popular dengan istilah dotcom merupakan
satu alat atau mekanisma yang akan membantu pembekal perkhidmatan dan produk
menyelesaikan masalah ini.
Kebanyakan
peneraju perniagaan e-Dagang ini bermula secara kecil-kecilan dan bersederhana.
Contoh yang dapat diberikan adalah Yahoo!
Inc dimana sewaktu memulakan operasinya, kakitangan Yahoo! Inc hanya seramai 12 orang pekerja sahaja dengan ruang
pejabat yang sempit dan tidak berhawa dingin. Dalam masa dua tahun selepas
penubuhannya, kini ia telah mempunyai kakitangan di seluruh dunia dengan
pendapatan bernilai berbillion-billion dollar sehingga mereka dapat menguasai
kepentingan dalam Geocities, iaitu
sebuah pelayan sesawang yang terkenal dalam kalangan komunitinya.
Secara
lumrahnya, perusahaan konvensional yang ingin mengimplimentasikan e-Dagang biasanya
akan melalui beberapa tahap evolusi. Dimana perusahaan-perusahaan mereka ini
akan menjalani enam tahap evolusi e- Dagang (Hartman, 2000) seperti yang
berikut:
a. Brochurware
Pada tahap
pertama, perusahaan biasanya menggunakan internet sebagai medium untuk promosi marketing. Istilah brochurware itu sendiri telah menunjukkan internet sebagai tempat
untuk mengembangkan brosur
elektronik. Informasi yang biasa dipaparkan pada laman web sesuatu perusahaan
ialah profil perusahaan, maklumat produk, servis yang ditawarkan, nombor telefon
untuk dihubungi dan lain-lain. Pada dasarnya, internet dapat dijadikan sebagai
medium komunikasi satu arah. Oleh itu, pelanggan dapat melakukan pencarian
(browsing) untuk maklumat perusahaan tersebut.
b. Customer Interactivity
Pada tahap ini,
komunikasi dua arah mungkin terjadi antara pelanggan dan perusahaan tersebut.
Contohnya kemudahan interactive chatting
secara face to face yang membolehkan
pelanggan bersemuka secara langsung dengan penjual untuk bertanyakan tentang
sesuatu produk atau perkhidmatan yang ingin dibelinya. Ini secara tidak
langsung dapat mencipta hubungan interaktif antara mereka dan merupakan salah
satu faktor yang menentukan aspek kepuasan dan kesetiaan pelanggan.
c. Transaction
Enabler
Tahap evolusi
e-Dagang yang seterusnya adalah pengembangan sesuatu aplikasi yang memungkinkan
terjadinya transaksi e-Dagang. Sekurang-kurangnya terdapat dua jenis transaksi
yang biasa terjadi. Antara transaksi-transaksi tersebut adalah mekanisma
pembelian produk atau perkhidmatan oleh pelanggan melalui internet. Aktiviti
perniagaan seperti pemilihan barang melalui katalog, harga yang ditawarkan,
kaedah pembayaran dan lain-lain lagi semuanya dilakukan melalui kemudahan yang
disediakan pada laman sesawang tersebut.
d. One-to-One Relationship
Prinsip yang
terjadi di sini adalah mekanisme penjualan produk atau perkhidmatan yang
memungkinkan pelanggan untuk berinteraksi secara eksklusif dengan individu yang
lain secara bebas. Contoh terbaik yang dapat diberikan adalah perniagaan money changer. Implikasi dari mekanisme
ini ialah pelanggan mungkin memperolehi harga spesifik yang berbeza dengan
pelanggan-pelanggan yang lain.
e. Real Time Organizations
Keseluruhan
transaksi diambil alih secara automatik oleh komputer bagi perniagaan yang
dijalankan secara 24 jam tanpa henti. Secara masa sebenar atau real time, pelanggan dan penjual dapat
bertemu dan melakukan transaksi saat itu juga. Antara manfaat real time ini adalah penjualan dapat
dilakukan pada masa itu juga contohnya dengan menggunakan kad kredit ataupun
pemindahan kredit. Ini merupakan salah satu kunci sesebuah perusahaan untuk
mencapai kejayaan dalam e-Dagang.
f. Communities of Interests
Tahap terakhir
dalam evolusi e-dagang adalah kemampuan perusahaan dalam membentuk komuniti di
dunia maya, yang terdiri dari pelanggan dan penjual yang saling bekerjasama
untuk mencipta nilai yang baru di dalam internet. Hubungan antara pelanggan dan
penjual tersebut akan menghasilkan berbagai model perusahaan baru yang
seterusnya menjadikan ia sesuatu perusahaan yang bagus untuk diperkembangkan.
4.0 KEPENTINGAN
E- DAGANG DALAM PERNIAGAAN
Penggunaan
e-Dagang kini semakin meluas di negara-negara barat malah telah diakui oleh
banyak syarikat antarabangsa dan pakar pemasaran sebagai sektor perniagaan dan
pemasaran yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Diantara kepentingan dan
kelebihan e-Dagang adalah:
a. Menjimatkan Kos
Urusan jual
beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat disamping menjimatkan kos.
Ia membantu syarikat untuk meluaskan pasaran ke seluruh pelusuk dunia dengan
menjadikan ekonomi di dunia ini menjadi satu sistem yang bersifat saling
bergantung diantara satu sama lain.
b. Mengintegrasikan Bahagian Dalaman Syarikat
Kemajuan teknologi dalam beberapa
dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan
ekonomi di seluruh dunia. Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman
syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti
perkhidmatan dan juga produktiviti.
c. Menyampaikan
Maklumat Dengan Lebih Pantas
Penggunaan e-Dagang
dalam perniagaan juga dapat membantu untuk menyampaikan maklumat perniagaan
kepada pihak yang berkenaan seperti pelanggan dengan pantas dan dalam masa yang
singkat, para peniaga boleh membuat promosi dangan mengiklankan produk mereka
melalui kemudahan Internet, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), e-mail dan pelbagai medium lain. Ini secara tidak langsung dapat
menyebarkan maklumat dengan lebih pantas, efisyen dan tepat.
d. Memanfaatkan Penggunaan Media Sosial
Peniaga juga
dapat menjimatkan kos pengiklanan. Usahawan kini boleh mengiklankan produk
perniagaan mereka di laman-laman sosial seperti Facebook, Friendster dan Twitter
dengan pantas dan berkesan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Laman-laman
sosial tersebut boleh dikemaskini pada sebilang masa sekiranya terdapat
maklumat baru mengenai perniagaan yang ingin disampaikan kepada pelanggan
khususnya.
e. Dapat Berhubung Terus Dengan Pelanggan
Peniaga dapat
berhubung terus dengan pelanggan dan ini bukan sekadar mendapatkan maklumat
balas secara terus tanpa melibatkan pihak ketiga, tetapi juga memlalui proses
yang pantas kerana ia berlangsung secara talian online. Oleh itu, peniaga dapat memperbaiki segala kelemahan dengan
segera seperti melakukan perubahan terhadap polisi dan strategi.
5.0 PENGGUNAAN
E-DAGANG SECARA GLOBAL
Perniagaan
e-Dagang telah berkembang secara meluas ke seluruh pelusuk dunia seiring dengan
perkembangan dalam bidang teknologi maklumat yang pesat. Melalui perniagaan e-Dagang,
pembekal atau peniaga melantik 'agen maya' secara bebas kepada mana-mana
pemilik atau webmaster laman web.
Pemilik laman web yang berminat akan mengisikan borang permohonan dan dalam
tempoh yang singkat mereka akan dilantik menjadi agen maya setelah memasang
sepanduk pembekal dalam laman mereka. Kod sumber html sepanduk berkenaan
akan melibatkan No. ID (pengenalan) perujuk (pemilik laman web) di mana perujuk
bakal diberikan komisyen setiap kali transaksi berlaku menerusi laman web
berkenaan.
Perkara
ini akan memudahkan lagi transaksi penjualan dan pembelian serta menjimatkan
pelbagai kos. Ada juga pemilik atau webmaster laman web lain yang ditaja
oleh organisasi korporat untuk memaparkan produk dan perkhidmatan yang
dibekalkan. Pemilik atau webmaster ini biasanya terdiri daripada
orang-orang yang bertaraf professional dalam bidang masing-masing dan sesuai
untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan organisasi korporat dan dibayar
royalti atau gaji bagi mereka yang bekerja secara rasmi dengan organisasi
berkenaan, sama ada secara langsung atau pun secara maya.
Transaksi
e-Dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan,
pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila pembeli
membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit
mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini akan
membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk
menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini, nombor kad kredit pembeli tidak
akan dibaca oleh penjual. Justeru, ia bakal mengelakkan pembeli dari masalah
penipuan. Teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure
Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta
Secure Socket Layer (SEL). Selain itu, terdapat beberapa mod pembayaran
yang telah diperkenalkan organisasi yang membangunkan e-Dagang seperti digital
cash, cek digital dan teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi Public
Key Infrastructure (PKI) dan sijil digital.
Kaedah
digital cash membolehkan pembeli
menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah
pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash,
Net.Trader dan Cyber Cash di Amerika Syarikat. Di Malaysia kaedah ini mula
dibangunkan oleh MIMOS Berhad dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui penggunaan
laman web Jaring's Mall. Perkara yang perlu dilakukan oleh pengguna ialah
mengisi borang permohonan dan memilih nilai wang digital yang mereka kehendaki.
Setelah proses pembayaran kepada Jaring's
Mall dilakukan, pelanggan akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan pelanggan
melakukan pembelian.
Para peniaga pada masa ini
juga amat mengemari perniagaan dan perdagangan secara global. Dengan adanya
jaringan internet, para pedagang mampu melakukan urusan pembelian dan
perbincangan secara atas talian sekaligus mampu menjimatkan masa dan kos
disamping mampu meningkatkan perniagaan secara global.
6.0
TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA
Aplikasi e-Dagang merupakan
antara projek yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan lagi
komunikasi dan transaksi menerusi elektronik melalui transaksi perniagaan
secara atas talian online. Hal ini
kerana, walaupun ianya masih diperingkat awal, e-Dagang telah menunjukkan
potensi yang tinggi dalam merevolusikan proses dan struktur industri dan
mengembalikan semula persekitaran persaingan bagi perniagaan di seluruh dunia
(Mahathir, 1998).
Di
Malaysia pada masa ini, mengikut kajian yang dibuat menunjukkan bahawa Bilangan
pengguna Internet dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015
berbanding 18 juta orang pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/3014
yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini. Menurut laporan itu
kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada
akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100
peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan. Statistik juga menunjukkan
lebih banyak pengguna Internet di Malaysia adalah pembeli berbanding penjual
dengan saiz pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia dijangka mencecah RM5
bilion menjelang 2014 berbanding RM1.8 bilion pada 2010.
Ini
ialah berikutan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap
keselamatan dan keberkesanan urusniaga melalui talian. Kemunculan E-Dagang
merupakan satu prospek yang pintar dan menguntungkan para usahawan. Ini kerana
berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan menjadi satu bentuk perniagaan
yang utama pada masa hadapan. Perkembangan semasa menunjukkan masyarakat
semakin peka terhadap K-Ekonomi dan perubahan arus globalisasi. Kesan ini
mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di negara-negara maju, ianya
telah menjadi trend masyarakat di
sana untuk melakukan pembelian online (Ang Chiew Seng, 2012).
Disamping
itu juga perlu ingat bahawa perniagaan menerusi talian tidak akan terhalang
oleh aspek geografi. Produk yang dipasarkan menerusi talian boleh dicapai oleh
pengguna dari serata dunia. Kini, usaha untuk membawa produk ke pasaran
antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah termasuk organisasi
kecil dan sederhana serta orang perseorangan.
Beberapa
polisi dan juga strategi telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga para
peniaga bagi memastikan perniagaan secara e-Dagang di Malaysia dapat dijalankan
dengan lebih berkesan. Namun begitu, terdapat beberapa isu dan juga perkara
yang perlu diberi perhatian semasa melakukan perancangan dan juga polisi dan
juga strategi bagi e-Dagang di Malaysia. Hal ini adalah termasuk dengan perkara
yang melibatkan kepelbagaian adat resam, agama, dan juga kebudayaan kerana
negara kita terdiri daripada masyarakat yang majmuk dan berbilang-bilang kaum.
Ini akan menjadikan kelainan dalam merencanakan polisi dan juga strategi bagi
e-Dagang di negara ini. Pihak kerajaan dan juga pihak swasta perlulah memainkan
peranan dalam memastikan polisi dan strategi ini dapat dijalankan.
Peranan swasta
juga amat penting dalam perjalanan e-Dagang di Malaysia. Bagi mewujudkan
suasana perjalanan e-Dagang yang kondusif, pihak swasta hendaklah mewujudkan
satu sistem transaksi selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam
siber supaya maklumat peribadi pengguna tidak disalahgunakan. Penyediaan
kemudahan yang bersifat mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran
komunikasi dan interaksi dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.
7.0 CABARAN/
HALANGAN PENGGUNAAN E-DAGANG
Cabaran dan
juga halangan yang di hadapi dalam usaha untuk melaksanakan penggunaan e-Dagang
banyak dibahas dan juga turut dijadikan sebagai subjek kajian oleh para
penyelidik. Di Malaysia terdapat beberapa rintangan dan cabaran yang
dikenalpasti sebagai halangan dalam melaksanakan e-Dagang secara
keseluruhannya. Halangan yang dimaksudkan ini adalah seperti faktor sosio-ekonomi,
isu kebudayaan dan juga isu E-Kesediaan.
Cabaran
yang dihadapi di negara luar sedikit sebanyak memberi kesan terhadap
perkembangan e-Dagang di Malaysia. Hal ini demikian kerana, perkembangan dari
negara luar akan memberi impak yang positif terhadap penggunaan e-Dagang di
Malaysia memandangkan masyarakat di negara ini selalunya dikategorikan sebagai
masyarakat yang lambat menerima sesebuah teknologi baru atau dipanggil
‘majoriti lewat penerimaan’ lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman (Mahendhiran,
Han dan Goon, 2010). Di antara cabaran atau halangan terhadap penggunaan e-Dagang
adalah:
a. Masyarakat Sukar Menerima Perubahan
Tanpa Bukti
Masyarakat di
Malaysia amat sukar menerima terus sesebuah teknologi yang baru tanpa adanya
bukti atau perkembangan yang positif dari negara luar akan kejayaan sesebuah
teknologi baru yang digunapakai (Siti Zobidah et. al 2008). Hasil kajian yang
telah dijalankan oleh SKMM (2010) mendapati, pengguna lebih gemar untuk membeli
di kedai atau pasaraya iaitu sebanyak 66.3 peratus berbanding membeli di
Internet atau secara on-line. Selain
itu, pengguna juga masih lagi berasa kurang yakin dan risau terhadap sistem
keselamatan e-Dagang. Perkara ini akan menimbulkan perasaan kurang percaya
pengguna untuk menggunakan sistem e-Dagang. Ianya terbukti apabila sebanyak
59.1 peratus pengguna kurang percaya dan sebanyak 58.7 peratus pula merasakan
kurang selamat terhadap pembelian menerusi on-line
(SKMM 2010).
b. Melibatkan Banyak Fasiliti Dan
Infrastruktur
Dalam
melaksanakan e-Dagang, ianya tidak hanya tertumpu kepada penggunaan sesebuah
mesin atau komputer sahaja malah melibatkan banyak fasiliti dan infrastruktur
termasuklah Internet yang berkelajuan tinggi (Turban dan King, 2003). Kemudahan-kemudahan
asas tersebut dilihat menjadi nadi pengerak dalam menentukan perkembangan yang
pesat terhadap penggunaan e-Dagang. Namun, ianya akan menjadi sia-sia sekiranya
kelengkapan tersebut masih lagi tidak mampu dipenuhi dan ini secara tidak
langsung akan memberi kesan terhadap perkembangan e-Dagang itu sendiri. Contoh
yang dapat diberikan adalah peratusan mengaplikasikan e-Dagang dikalangan
pengguna dan peniaga di kawasan luar bandar adalah amat rendah berbanding di
kawasan bandar. Hal ini terjadi kerana kawasan luar bandar masih lagi
kekurangan fasiliti dan infrastruktur internet yang berkelajuan tinggi.
c. Kos
Internet Yang Mahal
Akses Internet
yang mahal menjadi penghalang sesebuah organisasi perniagaan dan para pelanggan
untuk mencari maklumat atau info berkaitan dengan produk (Turban dan King,
2003). Para peniaga dan pelanggan akan menghadapi masalah sekiranya kos bagi
mengakses Internet melibatkan kos yang tinggi. Malah, ianya turut akan
membantutkan perkembangan khasnya e-dagang kerana asas utama dalam sistem e-Dagang
adalah Internet. Sekiranya kos bagi Internet mahal atau tinggi, ianya pastinya
akan menyukarkan banyak pihak. Selain itu, ianya juga menjadi penyumbang kepada
halangan untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan menerusi Internet
(Poong et. al 2007).
8.0 FAKTOR-FAKTOR
PENDORONG PENGGUNAAN E-DAGANG
Terdapat
beberapa faktor yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang
yang telah dikenal pasti oleh pengkaji, iaitu kebergunaan, mudah digunakan,
pengaruh sosial, kepercayaan, kos dan keselamatan:
a. Kebergunaan dan Kemudahgunaan
Faktor
kebergunaan memiliki tahap signifikan yang kuat terhadap penggunaan sistem
e-mel. Oleh yang demikian, faktor ini akan mempengaruhi keinginan pengguna
untuk menggunakan sesebuah teknologi baharu (Davis, 1989; Davis, Bagozzi, &
Warshaw, 1989). Selain itu, didapati faktor kebergunaan memiliki hubungan yang
paling kuat terhadap penerimaan perbankan Internet di Hong Kong. Tambah beliau
lagi, faktor lain seperti faktor mudah digunakan, risiko terhadap perbankan
Internet, dan kepembaharuan peribadi dalam teknologi maklumat (IT) turut
memiliki hubungan yang positif dengan menerima guna perbankan Internet. Lee
(2009) pula mengenal pasti bahawa pemboleh ubah kebergunaan memiliki hubungan
positif yang dapat mempengaruhi penggunaan perbankan Internet di Taiwan.
Faktor mudah
digunakan turut memberi kesan terhadap keinginan seseorang untuk membeli
menerusi online atau secara offline (Kloping & McKiney, 2004). Hal ini
menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah
aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya dan
seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan
sistem tersebut atau memberhentikannya.
b. Pengaruh Sosial
Hasil kajian
oleh Fan, Saliba, Kendall, dan Newmarch (2005) mendapati pengguna lebih suka
memberi cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan
kepada orang lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang
diberikan. Mereka lazimnya akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan
mereka yang terdekat supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut (Fan
dan rakan-rakan, 2005). Pengaruh sosial juga memberi kesan yang lebih mendalam
terhadap penerimaan pengguna terhadap sistem e-Dagang (Wei, Marthandan, Chong,
Ooi & Arumugam 2009). Hal ini menunjukkan pengaruh sosial sebenarnya
memiliki kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti
e-Dagang.
c. Kepercayaan
Kajian oleh
Jarvenpaa, Tractinsky, dan Vitale (2000) mendapati faktor kepercayaan adalah
penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi
elektronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan diberi keutamaan oleh
pengguna apabila melibatkan penggunaan sesebuah aplikasi dalam sesebuah laman
sesawang. Penerimaan terhadap faktor kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah
laman sesawang e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna. Hal ini
menunjukkan bahawa faktor kepercayaan merupakan faktor penentu sama ada
pengguna sesebuah aplikasi tersebut akan menggunakan aplikasi terbabit atau
tidak.
d. Kos
Kajian Mei
(2008) mendapati terdapat hubungan pekali yang negatif antara kos e-Dagang dengan
sumber teknologi e-Dagang dan dimensi rangkaian perniagaan menerima dan
menggunakan e-Dagang. Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan bahawa apabila
semakin tinggi kos daripada e-Dagang tersebut, maka semakin bertambah halangan
untuk menerima dan menggunakan e-Dagang seperti yang dijangkakan. Oleh itu,
faktor kos merupakan faktor yang penting dalam menerima dan menggunakan
sesebuah inovasi (Sathye, 1999).
Malah bagi
Sathye (1999), faktor kos merupakan salah satu sebab yang menjadi halangan
terhadap penggunaan perbankan Internet di Singapura dan Australia. Kesedaran
terhadap kos memiliki hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan
perbandingan pembelian secara online (Park, 2010). Pengguna membandingkan
terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum
melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan
perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan
e-Dagang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos kewangan kepada pengguna untuk
membeli (Dillon & Reif, 2004). Justeru, harga dan kos yang berpatutan
merupakan motivasi utama seseorang pengguna online
dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang (Swatman, Krueger
& Van der Beek, 2006).
e. Keselamatan
Faktor
keselamatan juga sering dibincangkan dan digunakan oleh para sarjana sebagai
pemboleh ubah yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu
aplikasi yang baharu seperti dalam aplikasi perbankan elektronik. Disamping
itu, penggunaan transaksi menerusi elektronik atau Internet tidak dapat
menjamin keselamatan 100 peratus memandangkan terdapat kes pencerobohan seperti
kecurian kata laluan akaun (atau dikenali sebagai phishing), penggodaman, kod berniat jahat, spam, gangguan, percubaan penembusan untuk mendapatkan informasi
sulit, dan sebagainya (e-security 2009; Coleman dan Golub, 2008). Justeru,
faktor keselamatan merupakan faktor yang paling penting dalam menjalankan
urusan yang melibatkan urusan transaksi seperti urusan pembelian secara online atau menerusi kad kredit (Fuenell
dan Karweni, 1999). Nadim dan Noorjahan (2007) mendapati bahawa terdapat
hubungan yang signifikan antara faktor keselamatan dan kerahsiaan berhubung
dengan keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan sesebuah sistem. Faktor
keselamatan dititikberatkan oleh seseorang pengguna dalam menggunakan sesuatu
sistem yang baharu seperti aplikasi e-Dagang.
9.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, konsep perniagaan e-Dagang telah mencetuskan satu fenomena baru
dalam dunia perniagaan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Perniagaan yang berlandaskan kepada perkembangan pesat dalam industri teknologi
maklumat ini telah memberikan impak yang cukup baik terhadap perkembangan pesat
dalam bidang perniagaan. Boleh dikatakan perubahan dalam industri IT adalah
yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19
dahulu. Industri IT adalah dinamik sekali apabila ia mengambil masa kurang
daripada 20 tahun untuk berkembang.
Kejayaan e-Dagang
memerlukan gabungan perkongsian di antara sektor swasta dan sektor awam. Sektor
awam perlu menjadi peneraju dengan mengelakkan kekeliruan di antara beberapa
agensi kerajaan serta berhati-hati supaya tidak timbul pertelingahan daripada
sudut kewibawaan (authority).
Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan
mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi e-Dagang bagi
sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan projek Koridor
Raya Multimedia (MSC). Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga melalui
e-Dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang
terdekat. Disamping itu juga, perdagangan ini mempunyai peluang yang sangat
besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia. Melalui e-Dagang ini
juga akan memperkenalkan cara dan gaya baru dalam urusniaga. Oleh yang
demikian, para peniaga harus bersedia dalam menghadapi arus perubahan atau
globalisasi.
SENARAI
RUJUKAN
1. Lee
Foong Yeuw.(1998). What is Electronic
Commerce. Jaring Internet/ Magazine/July.Vol
1, No 2; hal.16-17
2. Edward
John. (2013). Management Information Systems. Managing the Digital Firm.
8th Edition. London : Prentice Hall.
3. Ang Chiew
Seng.( 2012). E- Dagang kuasa penggerak
perniagaan baru. Majalah
Ekonomi, September : 28-32.
4. Pengguna Internet Malaysia cecah 25 Juta Orang pada
2015. (2013). Berita Harian, 25 Okt.
5. E-Dagang: Satu konsep perniagaan baru. (2013).
Berita Harian, 23 Mac : 10.
6. E-Dagang dan perniagaan melalui internet.
(2006). Majalah PC, 1 Ogos : 8 - 10.
7. Ahmad
Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobaidah Omar & Muhamad Sham Shahkat Ali.
Jurnal Pengajian Media Malaysia. (2011). Tahap
Hubungan Antara Pelbagai Faktor Terpilih Dengan Keinginan Menggunakan E-Dagang
Dalam Kalangan Pengguna Internet. Vol 13, No.2: 11 - 28
8. Beri Tumpuan E-dagang.(2015). Sinar
Harian, 13 April
9. Potensi
E-Dagang Belum Dimanfaatkan Sepenuhnya – Ahmad Shabery. (2015). Bernama, 29 Jun.
10. Manfaat
Sepenuhnya E-Dagang. (2000). Berita Harian, 21 Julai : 8
No comments:
Post a Comment