Wednesday 6 April 2016

e-Dagang




1.0       PENGENALAN

Perkembangan teknlogi maklumat yang pesat di Malaysia telah mendorong kepada kemajuan ekonomi Malaysia secara langsung. Perkembangan ini telah menggalakkan individu mahupun syarikat menggunakan internet sebagai medium perniagaan mereka atau lebih dikenali dengan panggilan e-Dagang.

Melalui konsep e-Dagang ini, masa kerja dan urusniaga akan menjadi lebih fleksibel dimana pengguna boleh memiliki pertubuhan/ pejabat maya atau hanya beroperasi di rumah. Pasaran perniagaan adalah lebih meluas ke serata dunia dan ia beroperasi 24 jam tanpa henti.

Selain itu, kaedah pembayaran didalam bentuk baru ini (secara dalam talian) ternyata amat murah dan mudah jika dibandingkan dengan kaedah pembayaran yang dibuat secara konvensional dan sekaligus mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai.

2.0       DEFINISI E-DAGANG

E-Dagang adalah merupakan satu proses pembelian dan juga penjualan yang dibuat melalui eletronik. Ia juga dikenali sebagai perdagangan elektronik atau dalam bahasa inggeris dipanggil sebagai Electronic Commerce (EC). Proses-proses yang melibatkan segala aktiviti perniagaan seperti pengiklanan, pesanan, penghantaran, pembayaran dan juga khidmat selepas jualan bagi perkhidmatan dan juga barangan. Menurut Lee Foong Yeaw (1998) e-Dagang adalah:

E-commerce includes any form of computerised commercial transactions.These transactions may mean buying and selling of products and services on networked computers over the Internet either by consumers or between company and company. E-commerce also includes handling purchasing transactions, electronic fund transfers (EFT), buying and selling of new "commodities" such as electronic information concerning stock prices and classified advertisements. 

 
 3.0       SEJARAH DAN EVOLUSI E- DAGANG
           
            Sejarah pengembangan e-Dagang di dunia bermula dari kemunculan internet yang kemudian terus berkembang sehingga timbullah e-Dagang. Kelahiran Internet adalah pada tahun 1969 melalui kajian sekelompok pemerhati di Amerika yang cuba berhubungan diantara empat buah komputer di UCLA, Stanford Research Institute, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah berjaya mencipta sebuah sistem jaringan perhubungan komunikasi yang membolehkan mereka berhubung secara terus antara satu dengan yang lain.

            Jaringan ini mula dikenali dengan istilah ARPAnet dimana ARPA adalah singkatan bagi Advanced Research Project Agency. Permulaan penggunaan istilah internet bermula setelah tiga tahun penemuan ARPAnet, lebih dari lima puluh universiti telah terhubung bersama-sama dalam jaringan (network) dan jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring dengan perkembangan ARPAnet, kemudian diikuti pula dengan penyelidikan oleh para cendiakawan serta eksperimen dari NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai terhubung diantara satu dengan yang lain.

            Istilah perdagangan elektronik pula bermaksud pemanfaatan transaksi komersial seperti pesanan pembelian atau invois secara elektronik. Ia terus berkembang melalui aktiviti yang mempunyai istilah perdagangan laman sesawang. Dimana transaksi pembelian dan penjualan barang dilakukan dengan khidmat World Wide Web melalui sebuah server yang dianggap selamat (HTTPS).


 Pembekal dan pelanggan dapat bertemu dalam suasana virtual atau maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain. Ini bermakna e-Dagang melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan dimana jua mereka berada menerusi akses kepada internet. Kaedah ini amat mesra pengguna dan sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter.

Pembekal akan mendirikan gedung maya dan mempromosikan melalui laman sesawang. Produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pengguna akan disenaraikan melalui laman sesawang masing-masing. Teknik pengiklanan yang terkini adalah dengan meletakkan sepanduk elektronik secara berbayar atau pintar seperti pertukaran sepanduk dengan mana-mana laman sesawang lain.

Organisasi-organisasi lembah silikon ini biasanya akan menawarkan laman sesawang percuma kepada pengguna internet dimana mereka boleh memaparkan iklan sepanduk kepada pengunjung laman sesawang tersebut. Dalam hal ini, pembeli atau pelanggan hanya perlu mengunjungi mana-mana tapak sesawang e-Dagang dan membuat pemilihan produk dan perkhidmatan yang dikehendaki. Produk yang dipilih akan sampai ke tangan pengguna dalam tempoh yang ditetapkan. Konsep perniagaan ini memerlukan kepakaran teknologi maklumat yang menggabungkan teknologi komputer dan telekomunikasi telah menghasilkan kebangkitan dan perkembangan dalam industri teknologi maklumat (Ang Chiew Seng, 2012).

Malaysia telah muncul kehadapan dalam bidang ini dengan munculnya Koridor Raya Multimedia (MSC) yang di ilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. E-Dagang secara drastiknya telah berjaya mengubah landskap perniagaan dan perdagangan yang dijalankan pada masa sekarang dan pada masa hadapan. Ianya dikuasai oleh maklumat (marketspace) dan amat berbeza dari ekonomi fizikal yang menjadi amalan biasa sebelum ini. Ini bermakna e-Dagang secara amnya merangkumi aktiviti-aktiviti ekonomi melalui elektronik dan melangkau semua transaksi yang berasaskan kepada kertas. Satu aspek penting dalam menentukan kejayaan e-Dagang adalah banyak bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan peniaga dan pengguna.  Kemunculan perniagaan e-Dagang sebenarnya banyak didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat. Selain itu, masalah-masalah yang wujud dalam perniagaan berbentuk konvensional turut membantu perkembangan e-Dagang. Dilema utama dalam aktiviti perdagangan sejak dahulu ialah faktor jarak yang jauh. Bagi mencapai tujuan mengembangkan perniagaan, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan pasarannya yang mana akan melibatkan penggunaan kos yang besar seperti pengangkutan, penyelenggaraan dan sebagainya.

Di samping itu faktor perbezaan zon waktu juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi jika melibatkan perdagangan antarabangsa di antara negara yang berbeza zon waktunya. Ini sudah tentu merumitkan merka dalam menjalankan urusan perniagaan. E- Dagang  atau kini juga popular dengan istilah dotcom merupakan satu alat atau mekanisma yang akan membantu pembekal perkhidmatan dan produk menyelesaikan masalah ini.

Kebanyakan peneraju perniagaan e-Dagang ini bermula secara kecil-kecilan dan bersederhana. Contoh yang dapat diberikan adalah Yahoo! Inc dimana sewaktu memulakan operasinya, kakitangan Yahoo! Inc hanya seramai 12 orang pekerja sahaja dengan ruang pejabat yang sempit dan tidak berhawa dingin. Dalam masa dua tahun selepas penubuhannya, kini ia telah mempunyai kakitangan di seluruh dunia dengan pendapatan bernilai berbillion-billion dollar sehingga mereka dapat menguasai kepentingan dalam Geocities, iaitu sebuah pelayan sesawang yang terkenal dalam kalangan komunitinya.

Secara lumrahnya, perusahaan konvensional yang ingin mengimplimentasikan e-Dagang biasanya akan melalui beberapa tahap evolusi. Dimana perusahaan-perusahaan mereka ini akan menjalani enam tahap evolusi e- Dagang (Hartman, 2000) seperti yang berikut:

a.         Brochurware
Pada tahap pertama, perusahaan biasanya menggunakan internet sebagai medium untuk promosi marketing. Istilah brochurware itu sendiri telah menunjukkan internet sebagai tempat untuk mengembangkan brosur elektronik. Informasi yang biasa dipaparkan pada laman web sesuatu perusahaan ialah profil perusahaan, maklumat produk, servis yang ditawarkan, nombor telefon untuk dihubungi dan lain-lain. Pada dasarnya, internet dapat dijadikan sebagai medium komunikasi satu arah. Oleh itu, pelanggan dapat melakukan pencarian (browsing) untuk maklumat perusahaan tersebut.

b.         Customer Interactivity
Pada tahap ini, komunikasi dua arah mungkin terjadi antara pelanggan dan perusahaan tersebut. Contohnya kemudahan interactive chatting secara face to face yang membolehkan pelanggan bersemuka secara langsung dengan penjual untuk bertanyakan tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang ingin dibelinya. Ini secara tidak langsung dapat mencipta hubungan interaktif antara mereka dan merupakan salah satu faktor yang menentukan aspek kepuasan dan kesetiaan pelanggan.

c.         Transaction Enabler
Tahap evolusi e-Dagang yang seterusnya adalah pengembangan sesuatu aplikasi yang memungkinkan terjadinya transaksi e-Dagang. Sekurang-kurangnya terdapat dua jenis transaksi yang biasa terjadi. Antara transaksi-transaksi tersebut adalah mekanisma pembelian produk atau perkhidmatan oleh pelanggan melalui internet. Aktiviti perniagaan seperti pemilihan barang melalui katalog, harga yang ditawarkan, kaedah pembayaran dan lain-lain lagi semuanya dilakukan melalui kemudahan yang disediakan pada laman sesawang tersebut.

d.         One-to-One Relationship
Prinsip yang terjadi di sini adalah mekanisme penjualan produk atau perkhidmatan yang memungkinkan pelanggan untuk berinteraksi secara eksklusif dengan individu yang lain secara bebas. Contoh terbaik yang dapat diberikan adalah perniagaan money changer. Implikasi dari mekanisme ini ialah pelanggan mungkin memperolehi harga spesifik yang berbeza dengan pelanggan-pelanggan yang lain.

e.         Real Time Organizations
Keseluruhan transaksi diambil alih secara automatik oleh komputer bagi perniagaan yang dijalankan secara 24 jam tanpa henti. Secara masa sebenar atau real time, pelanggan dan penjual dapat bertemu dan melakukan transaksi saat itu juga. Antara manfaat real time ini adalah penjualan dapat dilakukan pada masa itu juga contohnya dengan menggunakan kad kredit ataupun pemindahan kredit. Ini merupakan salah satu kunci sesebuah perusahaan untuk mencapai kejayaan dalam e-Dagang.

f.          Communities of Interests
Tahap terakhir dalam evolusi e-dagang adalah kemampuan perusahaan dalam membentuk komuniti di dunia maya, yang terdiri dari pelanggan dan penjual yang saling bekerjasama untuk mencipta nilai yang baru di dalam internet. Hubungan antara pelanggan dan penjual tersebut akan menghasilkan berbagai model perusahaan baru yang seterusnya menjadikan ia sesuatu perusahaan yang bagus untuk diperkembangkan.
 
 
4.0       KEPENTINGAN E- DAGANG DALAM PERNIAGAAN

Penggunaan e-Dagang kini semakin meluas di negara-negara barat malah telah diakui oleh banyak syarikat antarabangsa dan pakar pemasaran sebagai sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Diantara kepentingan dan kelebihan e-Dagang adalah:

a.         Menjimatkan Kos
Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat disamping menjimatkan kos. Ia membantu syarikat untuk meluaskan pasaran ke seluruh pelusuk dunia dengan menjadikan ekonomi di dunia ini menjadi satu sistem yang bersifat saling bergantung diantara satu sama lain.

b.         Mengintegrasikan Bahagian Dalaman Syarikat
Kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan juga produktiviti.

c.         Menyampaikan Maklumat Dengan Lebih Pantas
Penggunaan e-Dagang dalam perniagaan juga dapat membantu untuk menyampaikan maklumat perniagaan kepada pihak yang berkenaan seperti pelanggan dengan pantas dan dalam masa yang singkat, para peniaga boleh membuat promosi dangan mengiklankan produk mereka melalui kemudahan Internet, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), e-mail dan pelbagai medium lain. Ini secara tidak langsung dapat menyebarkan maklumat dengan lebih pantas, efisyen dan tepat.
  
d.         Memanfaatkan Penggunaan Media Sosial
Peniaga juga dapat menjimatkan kos pengiklanan. Usahawan kini boleh mengiklankan produk perniagaan mereka di laman-laman sosial seperti Facebook, Friendster dan Twitter dengan pantas dan berkesan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Laman-laman sosial tersebut boleh dikemaskini pada sebilang masa sekiranya terdapat maklumat baru mengenai perniagaan yang ingin disampaikan kepada pelanggan khususnya.

e.         Dapat Berhubung Terus Dengan Pelanggan
Peniaga dapat berhubung terus dengan pelanggan dan ini bukan sekadar mendapatkan maklumat balas secara terus tanpa melibatkan pihak ketiga, tetapi juga memlalui proses yang pantas kerana ia berlangsung secara talian online. Oleh itu, peniaga dapat memperbaiki segala kelemahan dengan segera seperti melakukan perubahan terhadap polisi dan strategi.

 5.0       PENGGUNAAN E-DAGANG SECARA GLOBAL

Perniagaan e-Dagang telah berkembang secara meluas ke seluruh pelusuk dunia seiring dengan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat yang pesat. Melalui perniagaan e-Dagang, pembekal atau peniaga melantik 'agen maya' secara bebas kepada mana-mana pemilik atau webmaster laman web. Pemilik laman web yang berminat akan mengisikan borang permohonan dan dalam tempoh yang singkat mereka akan dilantik menjadi agen maya setelah memasang sepanduk pembekal dalam laman mereka. Kod sumber html sepanduk berkenaan akan melibatkan No. ID (pengenalan) perujuk (pemilik laman web) di mana perujuk bakal diberikan komisyen setiap kali transaksi berlaku menerusi laman web berkenaan.

Perkara ini akan memudahkan lagi transaksi penjualan dan pembelian serta menjimatkan pelbagai kos. Ada juga pemilik atau webmaster laman web lain yang ditaja oleh organisasi korporat untuk memaparkan produk dan perkhidmatan yang dibekalkan. Pemilik atau webmaster ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang bertaraf professional dalam bidang masing-masing dan sesuai untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan organisasi korporat dan dibayar royalti atau gaji bagi mereka yang bekerja secara rasmi dengan organisasi berkenaan, sama ada secara langsung atau pun secara maya.

Transaksi e-Dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila pembeli membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini akan membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini, nombor kad kredit pembeli tidak akan dibaca oleh penjual. Justeru, ia bakal mengelakkan pembeli dari masalah penipuan. Teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SEL). Selain itu, terdapat beberapa mod pembayaran yang telah diperkenalkan organisasi yang membangunkan e-Dagang seperti digital cash, cek digital dan teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi Public Key Infrastructure (PKI) dan sijil digital.

Kaedah digital cash membolehkan pembeli menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash, Net.Trader dan Cyber Cash di Amerika Syarikat. Di Malaysia kaedah ini mula dibangunkan oleh MIMOS Berhad dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui penggunaan laman web Jaring's Mall. Perkara yang perlu dilakukan oleh pengguna ialah mengisi borang permohonan dan memilih nilai wang digital yang mereka kehendaki. Setelah proses pembayaran kepada Jaring's Mall dilakukan, pelanggan akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan pelanggan melakukan pembelian.

Para peniaga pada masa ini juga amat mengemari perniagaan dan perdagangan secara global. Dengan adanya jaringan internet, para pedagang mampu melakukan urusan pembelian dan perbincangan secara atas talian sekaligus mampu menjimatkan masa dan kos disamping mampu meningkatkan perniagaan secara global.


 6.0       TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA

Aplikasi e-Dagang merupakan antara projek yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan lagi komunikasi dan transaksi menerusi elektronik melalui transaksi perniagaan secara atas talian online. Hal ini kerana, walaupun ianya masih diperingkat awal, e-Dagang telah menunjukkan potensi yang tinggi dalam merevolusikan proses dan struktur industri dan mengembalikan semula persekitaran persaingan bagi perniagaan di seluruh dunia (Mahathir, 1998).

Di Malaysia pada masa ini, mengikut kajian yang dibuat menunjukkan bahawa Bilangan pengguna Internet dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/3014 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini. Menurut laporan itu kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan. Statistik juga menunjukkan lebih banyak pengguna Internet di Malaysia adalah pembeli berbanding penjual dengan saiz pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia dijangka mencecah RM5 bilion menjelang 2014 berbanding RM1.8 bilion pada 2010.

Ini ialah berikutan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan keberkesanan urusniaga melalui talian. Kemunculan E-Dagang merupakan satu prospek yang pintar dan menguntungkan para usahawan. Ini kerana berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan menjadi satu bentuk perniagaan yang utama pada masa hadapan. Perkembangan semasa menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap K-Ekonomi dan perubahan arus globalisasi. Kesan ini mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di negara-negara maju, ianya telah menjadi trend masyarakat di sana untuk melakukan pembelian online (Ang Chiew Seng, 2012).

Disamping itu juga perlu ingat bahawa perniagaan menerusi talian tidak akan terhalang oleh aspek geografi. Produk yang dipasarkan menerusi talian boleh dicapai oleh pengguna dari serata dunia. Kini, usaha untuk membawa produk ke pasaran antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah termasuk organisasi kecil dan sederhana serta orang perseorangan.

Beberapa polisi dan juga strategi telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga para peniaga bagi memastikan perniagaan secara e-Dagang di Malaysia dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Namun begitu, terdapat beberapa isu dan juga perkara yang perlu diberi perhatian semasa melakukan perancangan dan juga polisi dan juga strategi bagi e-Dagang di Malaysia. Hal ini adalah termasuk dengan perkara yang melibatkan kepelbagaian adat resam, agama, dan juga kebudayaan kerana negara kita terdiri daripada masyarakat yang majmuk dan berbilang-bilang kaum. Ini akan menjadikan kelainan dalam merencanakan polisi dan juga strategi bagi e-Dagang di negara ini. Pihak kerajaan dan juga pihak swasta perlulah memainkan peranan dalam memastikan polisi dan strategi ini dapat dijalankan.

Peranan swasta juga amat penting dalam perjalanan e-Dagang di Malaysia. Bagi mewujudkan suasana perjalanan e-Dagang yang kondusif, pihak swasta hendaklah mewujudkan satu sistem transaksi selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam siber supaya maklumat peribadi pengguna tidak disalahgunakan. Penyediaan kemudahan yang bersifat mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran komunikasi dan interaksi dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.
7.0       CABARAN/ HALANGAN PENGGUNAAN E-DAGANG
           
Cabaran dan juga halangan yang di hadapi dalam usaha untuk melaksanakan penggunaan e-Dagang banyak dibahas dan juga turut dijadikan sebagai subjek kajian oleh para penyelidik. Di Malaysia terdapat beberapa rintangan dan cabaran yang dikenalpasti sebagai halangan dalam melaksanakan e-Dagang secara keseluruhannya. Halangan yang dimaksudkan ini adalah seperti faktor sosio-ekonomi, isu kebudayaan dan juga isu E-Kesediaan.

Cabaran yang dihadapi di negara luar sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkembangan e-Dagang di Malaysia. Hal ini demikian kerana, perkembangan dari negara luar akan memberi impak yang positif terhadap penggunaan e-Dagang di Malaysia memandangkan masyarakat di negara ini selalunya dikategorikan sebagai masyarakat yang lambat menerima sesebuah teknologi baru atau dipanggil ‘majoriti lewat penerimaan’ lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman (Mahendhiran, Han dan Goon, 2010). Di antara cabaran atau halangan terhadap penggunaan e-Dagang adalah:

a.         Masyarakat Sukar Menerima Perubahan Tanpa Bukti
Masyarakat di Malaysia amat sukar menerima terus sesebuah teknologi yang baru tanpa adanya bukti atau perkembangan yang positif dari negara luar akan kejayaan sesebuah teknologi baru yang digunapakai (Siti Zobidah et. al 2008). Hasil kajian yang telah dijalankan oleh SKMM (2010) mendapati, pengguna lebih gemar untuk membeli di kedai atau pasaraya iaitu sebanyak 66.3 peratus berbanding membeli di Internet atau secara on-line. Selain itu, pengguna juga masih lagi berasa kurang yakin dan risau terhadap sistem keselamatan e-Dagang. Perkara ini akan menimbulkan perasaan kurang percaya pengguna untuk menggunakan sistem e-Dagang. Ianya terbukti apabila sebanyak 59.1 peratus pengguna kurang percaya dan sebanyak 58.7 peratus pula merasakan kurang selamat terhadap pembelian menerusi on-line (SKMM 2010).

b.         Melibatkan Banyak Fasiliti Dan Infrastruktur
Dalam melaksanakan e-Dagang, ianya tidak hanya tertumpu kepada penggunaan sesebuah mesin atau komputer sahaja malah melibatkan banyak fasiliti dan infrastruktur termasuklah Internet yang berkelajuan tinggi (Turban dan King, 2003). Kemudahan-kemudahan asas tersebut dilihat menjadi nadi pengerak dalam menentukan perkembangan yang pesat terhadap penggunaan e-Dagang. Namun, ianya akan menjadi sia-sia sekiranya kelengkapan tersebut masih lagi tidak mampu dipenuhi dan ini secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap perkembangan e-Dagang itu sendiri. Contoh yang dapat diberikan adalah peratusan mengaplikasikan e-Dagang dikalangan pengguna dan peniaga di kawasan luar bandar adalah amat rendah berbanding di kawasan bandar. Hal ini terjadi kerana kawasan luar bandar masih lagi kekurangan fasiliti dan infrastruktur internet yang berkelajuan tinggi.

c.         Kos Internet Yang Mahal
Akses Internet yang mahal menjadi penghalang sesebuah organisasi perniagaan dan para pelanggan untuk mencari maklumat atau info berkaitan dengan produk (Turban dan King, 2003). Para peniaga dan pelanggan akan menghadapi masalah sekiranya kos bagi mengakses Internet melibatkan kos yang tinggi. Malah, ianya turut akan membantutkan perkembangan khasnya e-dagang kerana asas utama dalam sistem e-Dagang adalah Internet. Sekiranya kos bagi Internet mahal atau tinggi, ianya pastinya akan menyukarkan banyak pihak. Selain itu, ianya juga menjadi penyumbang kepada halangan untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan menerusi Internet (Poong et. al 2007).

8.0       FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN E-DAGANG

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang yang telah dikenal pasti oleh pengkaji, iaitu kebergunaan, mudah digunakan, pengaruh sosial, kepercayaan, kos dan keselamatan: 

a.         Kebergunaan dan Kemudahgunaan
Faktor kebergunaan memiliki tahap signifikan yang kuat terhadap penggunaan sistem e-mel. Oleh yang demikian, faktor ini akan mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesebuah teknologi baharu (Davis, 1989; Davis, Bagozzi, & Warshaw, 1989). Selain itu, didapati faktor kebergunaan memiliki hubungan yang paling kuat terhadap penerimaan perbankan Internet di Hong Kong. Tambah beliau lagi, faktor lain seperti faktor mudah digunakan, risiko terhadap perbankan Internet, dan kepembaharuan peribadi dalam teknologi maklumat (IT) turut memiliki hubungan yang positif dengan menerima guna perbankan Internet. Lee (2009) pula mengenal pasti bahawa pemboleh ubah kebergunaan memiliki hubungan positif yang dapat mempengaruhi penggunaan perbankan Internet di Taiwan.

Faktor mudah digunakan turut memberi kesan terhadap keinginan seseorang untuk membeli menerusi online atau secara offline (Kloping & McKiney, 2004). Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya dan seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya.

b.         Pengaruh Sosial
Hasil kajian oleh Fan, Saliba, Kendall, dan Newmarch (2005) mendapati pengguna lebih suka memberi cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka lazimnya akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan mereka yang terdekat supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut (Fan dan rakan-rakan, 2005). Pengaruh sosial juga memberi kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan pengguna terhadap sistem e-Dagang (Wei, Marthandan, Chong, Ooi & Arumugam 2009). Hal ini menunjukkan pengaruh sosial sebenarnya memiliki kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti e-Dagang.

c.         Kepercayaan
Kajian oleh Jarvenpaa, Tractinsky, dan Vitale (2000) mendapati faktor kepercayaan adalah penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi elektronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan diberi keutamaan oleh pengguna apabila melibatkan penggunaan sesebuah aplikasi dalam sesebuah laman sesawang. Penerimaan terhadap faktor kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah laman sesawang e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna. Hal ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan merupakan faktor penentu sama ada pengguna sesebuah aplikasi tersebut akan menggunakan aplikasi terbabit atau tidak.

d.         Kos
Kajian Mei (2008) mendapati terdapat hubungan pekali yang negatif antara kos e-Dagang dengan sumber teknologi e-Dagang dan dimensi rangkaian perniagaan menerima dan menggunakan e-Dagang. Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan bahawa apabila semakin tinggi kos daripada e-Dagang tersebut, maka semakin bertambah halangan untuk menerima dan menggunakan e-Dagang seperti yang dijangkakan. Oleh itu, faktor kos merupakan faktor yang penting dalam menerima dan menggunakan sesebuah inovasi (Sathye, 1999).

Malah bagi Sathye (1999), faktor kos merupakan salah satu sebab yang menjadi halangan terhadap penggunaan perbankan Internet di Singapura dan Australia. Kesedaran terhadap kos memiliki hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online (Park, 2010). Pengguna membandingkan terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan e-Dagang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos kewangan kepada pengguna untuk membeli (Dillon & Reif, 2004). Justeru, harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama seseorang pengguna online dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang (Swatman, Krueger & Van der Beek, 2006).

e.         Keselamatan
Faktor keselamatan juga sering dibincangkan dan digunakan oleh para sarjana sebagai pemboleh ubah yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu aplikasi yang baharu seperti dalam aplikasi perbankan elektronik. Disamping itu, penggunaan transaksi menerusi elektronik atau Internet tidak dapat menjamin keselamatan 100 peratus memandangkan terdapat kes pencerobohan seperti kecurian kata laluan akaun (atau dikenali sebagai phishing), penggodaman, kod berniat jahat, spam, gangguan, percubaan penembusan untuk mendapatkan informasi sulit, dan sebagainya (e-security 2009; Coleman dan Golub, 2008). Justeru, faktor keselamatan merupakan faktor yang paling penting dalam menjalankan urusan yang melibatkan urusan transaksi seperti urusan pembelian secara online atau menerusi kad kredit (Fuenell dan Karweni, 1999). Nadim dan Noorjahan (2007) mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara faktor keselamatan dan kerahsiaan berhubung dengan keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan sesebuah sistem. Faktor keselamatan dititikberatkan oleh seseorang pengguna dalam menggunakan sesuatu sistem yang baharu seperti aplikasi e-Dagang.


 9.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, konsep perniagaan e-Dagang telah mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia perniagaan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Perniagaan yang berlandaskan kepada perkembangan pesat dalam industri teknologi maklumat ini telah memberikan impak yang cukup baik terhadap perkembangan pesat dalam bidang perniagaan. Boleh dikatakan perubahan dalam industri IT adalah yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Industri IT adalah dinamik sekali apabila ia mengambil masa kurang daripada 20 tahun untuk berkembang.

Kejayaan e-Dagang memerlukan gabungan perkongsian di antara sektor swasta dan sektor awam. Sektor awam perlu menjadi peneraju dengan mengelakkan kekeliruan di antara beberapa agensi kerajaan serta berhati-hati supaya tidak timbul pertelingahan daripada sudut kewibawaan (authority). Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi e-Dagang bagi sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan projek Koridor Raya Multimedia (MSC). Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga melalui e-Dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang terdekat. Disamping itu juga, perdagangan ini mempunyai peluang yang sangat besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia. Melalui e-Dagang ini juga akan memperkenalkan cara dan gaya baru dalam urusniaga. Oleh yang demikian, para peniaga harus bersedia dalam menghadapi arus perubahan atau globalisasi.


SENARAI RUJUKAN

1.   Lee Foong Yeuw.(1998). What is Electronic Commerce. Jaring Internet/ Magazine/July.Vol 1, No 2; hal.16-17

2.         Edward John. (2013). Management Information Systems. Managing the Digital Firm. 8th Edition. London : Prentice Hall.

3.      Ang Chiew Seng.( 2012). E- Dagang kuasa penggerak perniagaan baru. Majalah Ekonomi, September : 28-32.

4.        Pengguna Internet Malaysia cecah 25 Juta Orang pada 2015. (2013). Berita Harian, 25 Okt.

5.         E-Dagang: Satu konsep perniagaan baru. (2013). Berita Harian, 23 Mac : 10.

6.         E-Dagang dan perniagaan melalui internet. (2006). Majalah PC, 1 Ogos : 8 - 10.

7.         Ahmad Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobaidah Omar & Muhamad Sham Shahkat Ali. Jurnal Pengajian Media Malaysia. (2011). Tahap Hubungan Antara Pelbagai Faktor Terpilih Dengan Keinginan Menggunakan E-Dagang Dalam Kalangan Pengguna Internet. Vol 13, No.2: 11 - 28

8.         Beri Tumpuan E-dagang.(2015). Sinar Harian, 13 April

9.     Potensi E-Dagang Belum Dimanfaatkan Sepenuhnya – Ahmad Shabery. (2015). Bernama, 29 Jun.

10.       Manfaat Sepenuhnya E-Dagang. (2000). Berita Harian, 21 Julai : 8